Sunday, January 27, 2019

AMANAT DAN KATA-KATA ALUAN TUAN PENGETUA


Kata Alu-aluan :
TUAN PENGETUA
MAKTAB SULTAN ISMAIL
SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan  salam sejahtera.

Alhamdulillah , bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya , kita masih tetap berada pada tahap keunggulan yang maksimum dari segi kapasiti mental dan fizikal untuk terus menyumbang dan berbakti kepada anak-anak bangsa kita. Mudah-mudahan versi 2019 yang bakal kita semua tempuhi nanti dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, sebagai satu amanah yang tuntas dan sempurna.
Sebagai pendidik yang sentiasa cakna dan prihatin, maka dalam apa jua situasi dan kondisi, kita haruslah menggalas tanggungjawab ini sempurna, tidak cuai dan leka dengan profesion kita. Sedikit kecuaian dan kelalaian kita dalam membimbing dan mendidik anak-anak bangsa kita boleh memberi impak yang kurang baik terhadap personaliti dan kesejahteraan masa depan mereka. Oleh itu, marilah kita sama-sama bersepakat dan bermuafakat dalam semua perkara yang berfokuskan pelajar demi membina kemenjadian pelajar yang beridealisme dan pro aktif.  
Pada kesempatan ini juga, saya ingin menyatakan juga sebagai seorang guru profesional, nilai dan etika keguruan mestilah menjadi pegangan kukuh kita, agar integriti kita sebagai guru sentiasa di landasan dan martabat yang betul. Selain itu mestilah juga kita jauhi sentimen-sentimen buruk yang boleh merosakkan kerjaya sebagai guru. Jadilah guru yang bersantun dalam pertuturan , mempunyai sifat kasih sayang, prihatin dan pragmatis serta berupaya menzahirkan sifat-sifat yang disenangi oleh murid-murid kita. Mudah-mudahan dogma yang baik ini menjadi contoh dan teladan terhadap anak-anak murid kita.
Akhir kata, jadikanlah untuk 2019 sebagai tahun yang terbaik meletakkan tugas dan tanggungjawab sebagai keutamaan kita. Selain kita tidak lupa dan terlepas pandang juga perkara-perkara-perkara yang lain. Mudah-mudahan kerja buat kita yang ikhlas , mendapat keredhaan Allah S.W.T.


Sekian,  Selamat Maju Jaya

“We Strive For Excellence”


( HJ.  ROSDI BIN   MAT )
Pengetua
Maktab Sultan Ismail
Sekolah Kluster Kecemerlangan