Sunday, November 15, 2009

Majlis Solat Hajat & Restu Ilmu Calon SPM 2009

Majlis Solat Hajat & Restu Ilmu Calon SPM 2009 telah berlangsung pada hari Khamis 12 November 2009 bertempat di Masjid SIC & Dewan Tg Mahmud.





Bismillahirrahmanirrahim

Terima Kasih Yang Di Muliakan Tuan Pengerusi Majlis

Barisan Guru-Guru Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang amat disayangi,

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih lagi diberikan kesempatan untuk bersama-sama berkumpul pada hari ini bagi menjayakan Majlis Restu Ilmu Calon-Calon SPM dan STPM MSI 2009 untuk kesekian kalinya.

Rakan rakan yang di kasihi sekelian,

Pada hari ini,terlebih dahulu saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan juga rakan-rakan sekelian bahawa kita sebenarnya sudah tiba di medan pertempuran perjuangan kita sebagai seorang pelajar.Bulan demi bulan , hari demi hari jam demi jam di hitung dengan begitu teliti bagi menantikan tarikh keramat 18 Nov 2009.Persoalannya disini,adakah kita sudah benar-benar bersedia untuk menempuhnya dengan penuh yakin dan bersemangat?Justeru,dengan hanya berbaki beberapa hari sahaja ini sebelum kita menempuh peperiksaan yang sebenar ,saya ingin menyeru kepada rakan-rakan sekelian untuk kita sama-sama melakukan pecutan terakhir semampu kita supaya kita dapat bersama-sama menggengam kejayaan.

Sesungguhnya kita datang ke sekolah dengan segunung harapan baik daripada ibu bapa keluarga sahabat mahupun guru-guru yang mengharapkan kita semua melakukan suatu kejutan,bukan untuk mereka tetapi untuk diri kita sendiri.Kalau sekiranya kita tidak mampu pulang dengan segunung kejayaan,sekurang-kurangnya pulanglah dengan segenggam keberhasilan.Tiada apa yang lebih bernilai bagi ibu bapa yang telah menyekolahkan kita selama sekurang-kurangnya 11 tahun melainkan melihat anak-anaknya membawa pulang hadiah kejayaan.

Guru-Guru yang dihormati sekelian,

Bagi mewakili seluruh pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas pada tahun ini, saya ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf daripada guru-guru sekelian andai kata kami terkasar bahasa,tersilap bicara, dan berperilaku buruk berlaku sepanjang kebersamaan kita selama ini.Kami ingin guru-guru tahu bahawa jauh di sudut hati kami,kami tidak pernah berniat untuk melukai hati mu guru yang sudah kami anggap sebagai ibu dan bapa kami di sekolah

Tidak lupa juga,kami ingin merakamkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru sekelian kerana telah mendidik dan mengasuh kami dengan penuh sabar sepanjang kami bermaustatin di sini selama lima tahun.Suka saya mengingatkan disini kepada diri saya dan juga pelajar-pelajar sekelian mengenai peranan seorang guru sebagai pendidik yang bukan sahaja bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan akademik kita malah turut memainkan peranan sebagai pembentuk sahsiah dan akhlak seseorang pelajar.

Guru-Guru,

Dengan perasaan rendah diri,kami ingin memohon agar guru-guru menghalal dan merestui semua ilmu yang telah dicurahkan kepada kami.Insya-Allah ilmu yang di perturunkan,akan kami manfaatkan sebaik mungkin.Doakan agar kami mendapat kejayaan yang cemerlang dalam SPM

STPM dan seterusnya dalam hidup kami di dunia ini lebih-lebih lagi di akhirat nanti.Janganlah kita putuskan silaturahim yang telah terbina erat ini dan,nantikanlah kedatangan kami ke SIC pada tahun-tahun mendatang bukan sebagai pelajar,tetapi sebagai doktor,akauntan, jurutera,arkitek mahupun ahli politik atau Perdana Menteri dari Kelantan yang pertama yang di segani ramai.

Hadirin sekelian,

Tidak sempurna juga rasanya kalau saya tidak menzahirkan disini rasa terima kasih pelajar-pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas kepada pentadbir dan Unit Kecemerlangan SPM dan STPM 2009 atas segala perancangan aktiviti yang turut menjadi pelengkap kepada ramuan kejayaan kami.

Kenangan manis mengungkai sisipan,

Sisipan mengungkap bicara hati,
Bicara hati mengukir kenangan,
Kenangan SIC 2005-2009 didakap dalam memori.

Sebagai mengakhiri ucapan terakhir saya ini sebagai Ketua Pelajar bagi sesi 2009,saya ingin mempersilakan rakan-rakan sekelian untuk kita sama-sama berdiri dan memberikan tepukan yang paling gemuruh dan penuh bersemangat kepada semua guru yang berada di hadapan kita pada hari ini sebagai tanda penghargaan terima kasih tidak terhingga atas jasa yang telah di taburkan.

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Selamat Maju Jaya!Salam 1Malaysia.




Ucapan Wakil Guru: Pn Juriana

video

No comments:

Post a Comment